MOST POPULAR

MARILAH BERSAMA MEMBANTU ANAK DIDIK KITA YANG AKAN MENJADI HARAPAN KELUARGA .

Sunday 25 November 2012

TUJUAN BLOG

Tujuan saya mewujudkan blog ini adalah untuk membantu pelajar-pelajar yang akan menghadapi UPSR. Di sini pelajar-pelajar boleh mendapatkan pelbagai maklumat yang berguna bagi meningkatkan lagi penguasaan kemahiran berbahasa. Saya juga amat berbesar hati sekiranya para ibu bapa juga dapat melayari laman ini bersama anak-anak anda  bagi memberikan galakan kepada mereka.Semoga laman ini dapat memberikan sumbangan kepada calon-calon UPSR bagi meningkat kemahiran berbahasa mereka seterusnya dapat memperoleh markah yang diharapkan dalam peperiksaan nanti.Saya amat mengalu-alukan sebarang komen daripada anda bagi meningkatkan lagi persembahan di laman ini. 

SOALAN PEMAHAMAN


TIP MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Bahasa Melayu Penulisan
BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.


Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.

BAHAGIAN A 
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah, iaitu:

Langkah pertama
Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak). 

Langkah kedua

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang berkaitan. 

Langkah ketiga

Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak). Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana dan mengapa).

Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa) Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.

Langkah keempat 

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.

Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat. 

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan. 

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas. 

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat. 
Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur

Friday 9 November 2012

SISTEM BAHASA

GOLONGAN KATA

Terdapat empat golongan kata dalam Bahasa Melayu:

1. Kata nama
2. Kata kerja
3. Kata adjektif
4. Kata tugas


KATA NAMA
Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep umum sifatnya.

Terdapat dua jenis kata nama iaitu:

a. Kata nama am

Contoh perkataan:

  • Benda: manusia, burung, pokok, kereta 
  • Perkara: cita-cita, iklim, udara
  • Konsep: keceriaan, kebersihan, kedamaian
Contoh ayat:

  1. Cikgu memberi kerja sekolah semasa cuti pertengahan penggal.
  2. Watak hantu dalam filem itu amat menakutkan saya. 
  3. Perkarangan klinik itu ditanam dengan pelbagai jenis pokok bungan.


b. Kata nama khas
Kata nama khas merujuk nama sesuatu seperti benda, orang, haiwan, institusi, undang-undang, bangsa, bahasa dan pangkat. Huruf pertama ditulis dengan huruf besar.

Contoh perkataan:


  • Benda: Satria Neo, Toyota, Nissan Grand Livina
  • Orang: Afif, Zafarina, Marianne
  • Haiwan: Sang Kancil, Si Jalak, Sang Bedal
  • Institusi: Universiti Pendidikan Sultan Idris, Sekolah Kebangsaan Selasih, Kolej Putra
  • Undang-undang: Akta Keselamatan Dalam Negeri, Hukum Kanun Melaka
  • Pangkat: Tan Sri, Dato', Pegawai Daerah


Contoh ayat:

  1. Cikgu Kamal seorang yang tegas tetapi baik hati.
  2. Kucing kesayangan saya bernama Tompok.
  3. Abang membeli sebuah kereta Proton Exora baharu.
  4. Amalia bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
  5. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, Hukum Kanun Melaka digunakan sebagai panduanuntuk mentadbir negeri.